Sunday, February 1, 2015

Perangi Komunis 1950 hingga 1960

Posted on 03/04/2015by admin.upbb
MUKADIMAH
Cerita ‘Perang Sungai Manik’ pernah diterbitkan dalam 8 siri di blog ini pada bulan Februari/Mac 2012. Oleh kerana ada pembaca dari Pulau Kalimantan yang membuat pautan dalam Facebook beliau sejak dua hari yang lalu, dan jumlah yang membukaposting bersiri ini begitu ramai dan masih belum reda, maka untuk memudahkan warga Banjar dari seberang mengikuti sepenuhnya cerita keberanian Datuk Moyang mereka menentang gerila komunis di Negeri Perak 70 tahun yang lalu (1945), maka dengan itu UPBB rangkumkan kesemua 8 siri dalam satu posting.
Selamat membaca……warga Banjar Kalimantan.
——————————————————————————–
Cerita di bawah ini adalah terjemahan dari cerita asal bertajuk “Sungai Manik Bamandi Darah”.
Darah Banjar yang mengalir pekat dalam tubuhku membuat aku rasa terpanggil untuk menterjemah (tanpa kebenaran) cerita tersebut dengan harapan supaya anak-anak Banjar hari ini – dan juga orang Melayu – dapat mengerti betapa suatu masa dahulu suku kaum Banjar pernah bangkit menentang komunis dengan hanya bersenjatakan parang (parang bungkol) tanpa perlu terpekik terlolong di khalayak ramai menghunus dan mencium keris macam poli-tikus Melayu hari ini.
Walaupun terdapat banyak blog yang memetik cerita hasil nukilan saudara Nilasakunta, tapi masih belum ada (atau aku tak terjumpa) blog yang menterjemah keseluruhan cerita tersebut. Oleh itu, berbekalkan pengetahuan Bahasa Banjar yang masih dikira OK, aku cuba terjemahkan  secara berperenggan (paragraph by paragraph).
=============================================
Badan Ismail Rudo yang sudah tidak berkaki dan bertangan menggelupur di atas titi dan sedang menunggu masa untuk nyawa dan jasad berpisah – kedua belah kaki dan tangan Mail Rudo putus ditetak parang ‘bungkol’ Utoh Putih. Air jernih yang mengalir deras di bawah titi bertukar merah disirami darah. Maka tertawa besarlah ‘sangkala’ mendapat habuan petang – darah dalam jantung adalah makanannya.
Begitulah adat orang berkelahi, salah seorang pasti kecundang.

Selepas Asar, Mail Rudo pergi seorang diri – menghembuskan nafas terakhir tanpa seorang pun yang sudi mendekatinya. Sepucuk pistol .38 tanpa peluru masih berada di sisi jasad yang sudah kaku.
Ramai penduduk Bendang DO, parit 6, Sungai Manik terdiri dari keluarga Banjar. Kehidupan mereka begitu daif, terhimpit dan dihimpit oleh gerombolan komunis yang bermarkas di Sungai Tungko, dan diketuai oleh Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang.
Pembunuh Mail Rudo, orang kuat Parti Komunis Malaya (PKM) mesti ditangkap segera.
Utoh Putih, Banjar ‘Alai’ jati beranak dua – anak bungsunya seorang bayi perempuan dan baru pandai berdiri-jatuh. Dia menetap di Pekan Rabu, Parit 6, Sungai Manik. Oleh kerana warna kulitnya yang tersangat cerah maka lekatlah gelaran Utuh Putih.
Arwah datuk (pencerita) dan Utuh Putih adalah rakan karib yang sama hebat ilmu zahir dan batin.
Mail Rudo, Banjar Sungai Tungko, Sungai Manik sudah lama menyertai PKM dalam bahagian risik. Selepas tentera Jepun menyerah kalah, Mail Rudo ditugaskan mencari ahli baru dalam daerah Sungai Manik. Disebabkan tidak ramai warga Banjar yang sudi menyertai perjuangan komunis, maka akhirnya Mail Rudo terpaksa menggunakan kekerasan. Mereka yang enggan akan menerima padah.
Saban hari ada saja penduduk kampung yang ditangakap, tak kira muda ataupun tua. Disiksa, disembelih, disumbat dalam guni hidup-hidup dan dibuang ke Sungai Perak, ditembak, disula, dan bermacam lagi hukuman. Begitulah gerangan bila manusia (Mail Rudo) sudah ada kedudukan – mudah lupa diri hingga hilang rasa kemanusiaan.
Pada masa itu bukan sedikit orang Banjar dan orang Melayu yang menyokong perjuangan komunis. Malah ada juga orang Banjar yang hebat ilmunya turut menjadi talibarut. Orang seperti itulah yang menjadi duri dalam daging penduduk setempat. Oleh kerana terlau mengejar pangkat mereka sanggup membunuh, membakar rumah dan memusnahkan harta benda bangsa sendiri. Penduduk kampung yang takut menyertai perjuangan komunis secara aktif dipaksa pula membayar yuran sebagai ahli PKM.
Kehidupan keluarga Banjar di Sungai Manik semakin terhimpit. Ramai yang terpaksa berpindah ke penempatan Banjar di seberang Sungai Kinta – ke Kampung Balun Bidai dan Kampung Gajah.
Waktu Zohor baru saja masuk. Alun air bendang dihembus bayu membuat hati terasa rawan. Sambil memikul guni berisi ubi, Utoh Putih melangkah cermat menuju titi untuk kembali ke rumah di Pekan Rabu. Sebaik sahaja sampai di pangkal titi…..
“Dari mana gerangan ni ‘Toh, akhirnya bertemu juga kita di sini ye?” entah dari mana munculnya si Mail Rudo, tiba-tiba saja tercegat di tengah titi berpakaian seragam komunis, pistol dan bayonet terselit di pinggang. Di wajahnya terpancar rasa kepuasan kerana dapat bertemu dengan Utoh Putih yang sudah sekian lama dipujuknya supaya menyertai PKM.
“Baru balik dari Cikus mencari ubi, maafkan saya tuan, tumpang lalu” Utoh Putih menyahut penuh hormat.
“Kalau ia pun letaklah dulu guni ubi tu, tak usah bergegas, apa yang nak dikejar, tak ke mana perginya rumah tu” garau bunyi suara Mail Rudo. Antara rela dan terpaksa, Utoh Putih mematuhi perintah ‘tuan besar’ dan meletakkan guni ubi di atas titi. Begitu tegap susuk tubuh dua orang anak Banjar yang berdiri di atas titi menghadap satu sama lain, cumanya seorang berkulit cerah manakala seorang lagi kelihatan gelap.
“Mungkin petang ini pertemuan kita yang terakhir, agaknya” si Mail Rudo menyambung bicara.
“Apa hajat, kenapa lain benar kata-kata tuan besar?” si Utoh Putih yang menyambut bicara merasakan ada sesuatu yang tak kena.
“Tak usah pura-pura tak tau, bagaimana dengan janji kau dulu? Sampai hari ini aku masih menunggu kata putus” rungut orang kuat PKM menempelak.
“Taklah Mail, aku tak nak ikut perjuangan yang membinasakan bangsa, sedangkan perjuangan untuk mengisi perut sendiri dan anak bini rasa dah tak tertanggung. Tidak…tidak sekali-kali” si Utoh Putih menjawab tegas.
“Mak oi, keras benar hati kau ni ‘Toh…apa nak buat…kalau itulah pendirian kau, bersiap sedialah” merah padam muka Mail Rudo kerana marah. Spontan tangan kanannya mencapai pistol di pinggang dan mengacukan ke dada si Utoh Putih.
“Jangan, senjata jangan dibuat main Mail ai…kita kan serumpun, tak kanlah kau tak ada belas kasihan. Ditakdirkan aku tak ada, siapa yang nak menyara anak isteriku nanti…ampun tuan besar” si Utoh Putih merayu minta simpati.
“Dam…” bunyi pistol memuntahkan peluru sulung. Berasap baju buruk si Utoh Putih dihinggapi peluru, namun dia masih tak berganjak, masih tegak berdiri. Keluarga Banjar berhampiran yang terkejut melihat kejadian tak berani mendekati, masing-masing masuk ke rumah.
“Dam…dammmm…” sudah tiga das tembakan dilepaskan oleh Mail Rudo namun peluru masih tak mampu menembusi kulit si Utoh Putih.
“Bangsat betul, kebal rupanya kau ye…tahani lagi nah” tengking orang kuat PKM. Tanpa disedari sudah enam das tembakan dilepaskan dan pistolnya sudah kehabisan peluru. Sedang Mail Rudo terkial-kial…..
“Labukkk…” ayunan parang bungkol yang bergelar si Kandal Larap hinggap dipergelangan tangan kanan Mail Rudo, membuatkan tangan itu putus serta merta.
“Labukkk…” giliran tangan kiri si Mail Rudo untuk jatuh ke tanah. Utoh Putih meneruskan ayunan. Kali ini lutut kanan Mail Rudo pula jadi mangsa parang bungkol Kandal Larap. Setelah putus kaki kanan, maka terdamparlah Mail Rudo di atas titi. Si Utoh Putih semakin geram. Tetakan terakhirnya membuat kaki kiri Mail Rudo bercerai dengan badan.
Guni yang berisi ubi diletakkan semual ke bahu, dan Utoh Putih terus balik ke rumah meninggalkan Mail Rudo mengerang kesakitan.
———————————————————————————-
Markas PKM di Sungai Tungko gempar mendapat berita tentang pembunuhan Mail Rudo. Dengan bersenjatakan raifel MK5, berduyun-duyun gerombolan komunis yang diketuai orang kanan mereka si Ah Pau bergegas menghala ke Bendang DO, Parit 6, Sungai Manik.
“Ai yaa…kaki tangan semua kasi potong habit ka…manyak cilaka itu olang.” bebel si Ah Pau apabila terpandang mayat Mail Rudo yang masih tabirangkang (terkangkang) di atas titi. Tak seorang pun keluarga Banjar di 
Bendang DO yang berani tampil menunjukkan muka. Mereka hanya menyaksikan dari jendela rumah masing-masing.
Hari semakin larut petang, gerombolan komunis masih riuh berbincang sesama sendiri. Entah apa yang mereka bincangkan tak seorang pun penduduk kampung yang mengerti. Sejurus kemudian, kumpulan komunis itu pergi dari rumah ke rumah manggandah(mengetuk kuat) dinding mengarahkan orang kampung, tua dan muda, berkumpul di hadapan Pekan Rabu.
Seorang demi seorang di soal siasat termasuklah Utoh Putih. Namun, keluarga Banjar sepakat berpura-pura tak kenal siapa yang membunuh Mail Rudo. Akhirnya kepala komunis, si Ah Pau memberi kata dua: Kalau pembunuh Mail Rudo tidak ditangkap, Bendang DO akan jadi padang jarak padang tekukur.
Mayat Mail Rudo ditayut (diikat) dengan tali dan dikandar (galas) dengan kayu panjang untuk dibawa pergi. Rasa maras (kesian) pun ada melihat cara mayat diperlakukan – tak ubah seperti mengandar hasil buruan babi hutan. Tak siapa yang tau ke mana mayat itu dibawa, ditanam atau dibuang ke Sungai Perak. Kalau dibuang ke sungai pastinya ternganga luas mulut sang kuradal (sang buaya) mendapat habuan petang.
Warga Banjar sepakat meminta Utoh Putih membawa isteri dan anak-anak meninggalkan Bendang DO dengan segera. Maklum sajalah, muntung guri (mulut tempayan) bolehdipisiti (ditutup rapat), mulut manusia siapalah tau. Tapi apa pula kata empunya diri…!
“Cakada (tidak) saudaraku. Untuk apa kalau aku seorang saja yang maharagu (menjaga) anak dan isteri sedangkan kalian sabarataan (semua) terpaksa menanggung derita…aku tak akan meninggalkan kampung ini. Tidak, tidak sekali-kali, apa nak jadi, jadilah.” jenuh penduduk kampung memujuk namun Utoh Putih tetap dengan pendiriannya.
Sudah tiga hari berlalu, Emoh sahabat karib Utoh Putih yang baru dapat berita segeramangunyur (menonong) meninggalkan Balun Bidai menyeberang Sungai Kinta menuju ke Bendang DO untuk menemui sahabat karibnya, kawan sehati, seperguruan dan samajuhara (jaguh). Persahabatan mereka lebih akrab dari hubungan adik-beradik, dan tentunya Emoh tak akan mahijaakan (membiarkan) sahabatnya keseorangan dalam keadaan sedemikian.
“Pariannya diako madam maninggalakan Bandang DO nih …….. Tia mati jua magun Moh ai……….ajal wan maut bacara hudah di tantuakan, siapang nang kawa mahalang.” surung pandiran Utoh Putih nang hanyar haja imbah bamakanan di rumah hidin malam tutih.
“Pariannya (andainya) aku madam (berhijrah) meninggalkan Bendang DO, mati juga akhirnya, ajal maut sudah ditentukan, tak siapa kawa (boleh) menghalang.” Utoh Putih memulakan perbualan setelah selesai makan malam itu.
“Ai, jangan begitu, apa pangrasa (resa) kau ‘Toh?” tanya Emoh yang mula rasa tak sedap hati.
“Kada ah….. kaluko ai,” jawab hidin handap.
“Tak lah, manalah tau,” jawabnya ringkas.
Walau dimapa gin si Emoh magun ham asa balisah napang pinda lain banar parangai sahabat hidin nang sasain ambak bilang banyak mainggihakan pada malilit pandiran. Sarajin amun lawas kada badapatan kadamia cakada bakakaringan gusi palapauan tantan.
Walau bagaimana pun, Emoh masih rasa gelisah kerana lain benar kelakuan sahabatnya yang semakin ambak (pendiam), lebih bersikap mengiakan dari merancakkan perbualan. Selalunya kalau lama tak berjumpa, tak kering gusi mereka berbual.
Malam semakin larut namun dua orang sahabat karib itu masih lagi belum tidur, masih ‘garunuman’ berbual.
“Moh, andainya ajalku sampai, jangan bersusah payah membawa mayatku ke Balun Bidai, kebumikan saja di sini. Tapi, jangan kau lupa membawa anak isteriku dan serahkan kepada keluarganya di sana. Sepanjang kita bersahabat, kalau ada terlebih terkurang, aku minta halal dunia akhirat. Engkau pula Moh, biarlah disederhanakan manjuhara(kejaguhan). Berhati-hatilah memilih kawan. Satu lagi…tapi jangan pula kau anggap aku menghalau…esok sebelum Zohor, aku minta kau segera beredar dari rumahku, ke mana yang kau nak tuju, aku tak batangatan (melarang). Tak ada apa-apalah, cuma aku rasa lebih selesa kalau bersendirian!”
Marigap (berderau darah) si Emoh mendengar kata-kata sahabatnya, lantas bangun mendakap Utoh Putih. Muntung bungkam (mulut terkunci) – tak sepatah kata pun yang terucap antara mereka kecuali barubuian (deraian) air mata mengenangkan nasib yang bakal menimpa. “Mungkin sudah sampai janji (ajal) saudaraku ini,” bisik hati kecil Emoh.
Mereka terus berbual sampai ke subuh.
Ari magun haja tatarauan, nang badua badangsanak hudaham tacugut di pinggir sumur pamandian.
Dalam remang (tatarauan) subuh, kedua sahabat sudah tacugut (tercegat) di tepi telaga mandi.
“Ayuha, duduklah ‘Toh…..Bismillahirahmanirahim…..” Emoh membaca ayat mandi suci sambil manguboiakan (menyiram) air memandikan sahabatnya si Utoh Putih hingga selesai.
Api di dapur barau (marak) dengan isteri Utoh Putih sibuk menyediakan sarapan pagi. Kesian si isteri kerana tak tau kisah dan hujung pangkal cerita. Pada pengamatannya, bermandi-mandian di subuh hari sudah jadi kelaziman dua orang pendekar tersebut.
Bandang DO hangat babandering mambari tanda pagi baugah tangahari sampai am hudah kutika badua badangsanak kana bapisah. Salah saikung tapaksa mamingkuti janji.
Panas semakin terik di Bendang DO sebagai tanda pagi sudah baugah (beralih) ke tengahari. Maka tibalah saatnya untuk kedua sahabat itu berpisah. Salah seorang terpaksamamingkuti (memegang) janji.
“Jangan lupa pesan guru kita wahai saudaraku, walau nyawa sudah berada di hujung, jangan sekali-kali kau lupa….” pesan Emoh kepada Utoh Putih. Kedua sahabat berpelukan untuk kali terakhir.
“(Barilaan) kita dunia akhirat.” dengan kata-kata itu, Emoh terus menonong meninggalkan sahabatnya si Utoh Putih tanpa menoleh lagi ke belakang. Ke mana gerangan tujuannya, tak siapa pun tahu.
NOTA KAKI:
Perkataan dan paragraph dalam warna biru adalah perkataan Banjar.
Maksud “Barilaan” ialah “Maaf zahir batin dan halalkan termakan terminum”
——————————————————————————–
Selepas solat Zohor tengahari itu, kelopak mata Utoh Putih terasa berat kerana tak tidur semalaman. Anak bungsunya sudah marinuk (merengkok) terlena di tepi lulungkang(jendela) anjung rumah. Hembusan bayu Bendang DO terasa dingin. Tak lama setelah Utoh Putih merebahkan badan di sebelah anaknya, dia pun turut terlena.
Hari semakin menghampiri petang. Entah kenapa gerangan hari ini Bendang DO sunyi sepi. Tak seorang pun yang kelihatan gagaliwalak (mundar mandir) di luar rumah seperti hari-hari biasa. Agaknya mereka sengaja mendiamkan diri dalam rumah, masih terkejut dengan kematian Mail Rudo dan kata-dua komunis, atau sedang menghitung hari kerana tempoh seminggu yang diberikan PKM semakin hampir.
Tanpa disedari enam ikung (orang) komunis sedang karayapan (merayap) mamaraki(menghampiri) rumah Utoh Putih. Kabujuran (kebetulan) pula, isteri dan anak sulungnya tidak ada di rumah kerana pergi maunjun (mengail) ikan puyu bersama kawan-kawan. Dengan menatang raifel MK5, gerombolan komunis terjingkit-jingkit menjenguk setiap jendela rumah. Sebaik terpandang Utoh Putih yang sedang lena, tanpa membuang masapalumpongan (muncung) MK5 diacukan ke kepala dari luar jendela.
“Dahui…dahui…dahui…” tiga kali muncung raifel memuntahkan pilur (peluru). Kerana sudah sampai waktunya – sampai ajal – kekebalan Utoh Putih berakhir. Tak sedikit pun yang tinggal. Mangarabuak (menggelegak) darah dalam jantung keluar menerusi ruang-ruang terbuka di kepala. Mujur juga anak kecilnya tidak diapa-apakan. Kuciak papar(menjerit sakan) si anak yang terkejut, bakayukut (merangkak-tiarap) mendakap bapanya yang sudah tidak bernyawa lagi.
Galahakan (berdekah-dekah) ketawa gerombolan komunis kerana puas dapat membalas kematian Mail Rudo. Selepas itu mereka terus balik meninggalkan Pekan Rabu, Bendang DO menghala ke Sungai Tungko.
Si Emoh yang sedang dalam perjalanan menghala ke Bendang DO manggisit (hampir)terserempak dengan kumpulan PKM yang masih terbahak-bahak kegembiraan. Mujur juga dia ternampak mereka lebih dahulu, lantas melompat manyungkupakan(menyembunyikan) diri ke padang tagah (dalam semak). Parang bungkol yang bergelar “si Buruk” sedia tergenggam di tangan. Andai ketemuan, tak taulah apa yang akan terjadi. Mujur juga dia masih lagi dilindungi Allah, dan tak seorang pun ahli komunis tersebut dapat melihatnya.
Barubuian (bercucuran) air mata Emoh terkenang sahabatnya si Utoh Putih. “Mungkin dah tak ada lagi saudaraku ini” bisik hati kecilnya. Belum pun jauh kumpulan komunis itu berlalu, Emoh bingkas dan bukah mancicing (pantas berlari) maranduk (meredah) pinggir bendang menghala ke rumah Utoh Putih yang sudah mula barumbung (ramai) orang.
“Ayuha, pergilah dulu wahai saudaraku kerana bila sudah sampai masanya, tidak siapa dapat menghalang” bisik Emoh ketika terpandang jenazah si Utoh Putih. Barataan(semuanya) warga Banjar di Bendang DO batarukuian (sepakat) untuk menyempurnakan jenazah petang itu juga. Dalam keadaan serba kekurangan kerana darurat, pengkebumian berlarutan sampai ke malam.
Han napa tia bujur, “amun muntung guri wadi hingkat disumpali dipisiti. Muntung manusia siapang nang hingkat manduga”, tantu banar ah hudah ada nang anju ataran, tida di manang bubuhan PKM tutih tahu pada si Utoh Putih nang ampunya angkara!
Betapa benarnya kata-kata “kalau mulut tempayan pekasam boleh disumpali (disumbat)dipisiti (ketat), mulut manusia siapa yang dapat menduga”. Tentu ada yang anju ataran(celupar) kalau tidak masakan PKM tahu Utoh Putih yang empunya angkara.
Mangkining (mengerlit) kilauan parang bungkol si Kandal Larap yang sudah tidakbapagustian (bertuan) tersangkut di tawing (dinding). Sambil mengusap mata parang bungkol peninggalan sahabat karibnya, hati Emoh berkata “Satu ketika nanti akan ku mandikan si Kandal Larap dengan darah seteru haram jadah…”
Parang Bungkul si “Burok” pusaka peninggalan Emoh yang tersimpan rapi dalam jagaan empunya cerita
————————————————————————————
Sudah seminggu berlalu, mujurlah tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku di Bendang DO. Pun begitu, keluarga Banjar yang berada di situ masih curiga kerana maklum sajalah janji komunis tak boleh dipercaya. Dalam diam, kerabat PKM sudah membina sebuah markas kecil kira-kira satu kilometer dari Bendang DO dengan tujuan mengawasi dan berkempen kononya tak siapa pun yang boleh memerdekakan Tanah Melayu selain dari PKM.
Ramai jugalah orang Melayu dan Banjar yang mula terpengaruh diresapi dakyah komunis hingga ada yang sanggup menyertai kumpulan bersenjata, manakala yang penakut atau berani-berani lalat pula memadailah sekadar menjadi mata dan telinga mereka.
Markas PKM di Bendang DO tak mendapat sambutan langsung. Perjuangan apa gerangan kalau caranya lebih teruk dari pemerintahan Jepun. Begitulah agaknya tanggapan warga Banjar seluruh Bendang DO – geram benar gamaknya.






No comments:

Post a Comment