Tuesday, May 12, 2015

Kisah Makam Durian Sebatang @ Makam Sultan Abdullah Muhammad Shah [ Sultan Perak ke 22 ]

Kisah makam Durian Sebatang dalam istiadat pertabalan Sultan Perak

sultan perak nazrin shah

Makam Sultan Abdullah Muhammad Shah yang terletak di Kampung Terengganu masih terpelihara baik.
TELUK INTAN – Bagi menyempurnakan majlis pertabalan, setiap Sultan Perak memerlukan menziarahi semua 33 makam sultan terdahulu di tebing kiri dan kanan Sungai Perak bermula dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah, Bagan Datoh.
Salah satu makam terletak di Durian Sebatang iaitu kira-kira 500 meter dari bandar Teluk Intan milik Sultan Perak ke-22, Sultan Abdullah Muhammad Shah Ibni Raja Kecil Besar Abdul Rahman yang memerintah Perak bermula pada 1851 sehingga 1857.
Penduduk, Hasnah Hassan, 74, berkata, makam yang terletak di Kampung Terengganu iaitu kira-kira 50 meter dari rumahnya masih terpelihara.
Menurutnya, berdasarkan cerita nenek moyang terdahulu, semasa pemerintahan Sultan Abdullah, berlaku peperangan antara baginda dengan Raja Ngah Jaafar sehingga baginda tewas dan terpaksa meninggalkan istana sebelum mendapat perlindungan di rumah Datuk Laksamana Tok Janggut.
“Baginda digelar Marhum Durian Sebatang dan sehingga kini, makamnya masih terpelihara malah, kanak-kanak tidak berasa gentar dengan kewujudan makam ini walaupun terletak bersebelahan dengan rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Hasnah berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah jika baginda menziarahi kampung itu.
“Difahamkan ketika acara ziarah itu, Mufti Perak akan membacakan doa selamat di setiap makam dan beramah mesra dengan masyarakat setempat.
“Kampung ini juga mempunyai sebuah istana tempat bersemayam Sultan Idris Shah II yang dilantik sebagai Raja Muda Perak pada 1948 namun, istana itu kini hanya tinggal rangka sahaja,” katanya. Sinar Harian

No comments:

Post a Comment