Sunday, May 17, 2015

Rahsia Kesultanan Perak [ Kisah dari Bagan Datoh ]

Alhamdulillah Panglima baru sahaja tiba di rumah dari lawatan ke Bagan Datoh Perak. Program sehari bersama Menteri Pertahanan dan juga Naib Presiden Umno di sana yang disertai sekumpulan bloggers dan facebookers sangat bermakna kepada diri Panglima. Banyak perkara telah diperolehi dan banyak 'rahsia' telah dibuka oleh Allah. Antaranya cerita Beting Beras Basah. Kunjungan kami ke sana dibantu oleh Pak Ayob seorang warga tempatan yang menerangkan sejarah tempat berkenaan dengan mendalam. Jarak rumah ibubapa DS Zahid Hamidi dengan Beting Beras Basah mengambil masa 10 minit sahaja menggunakan jalan darat

Memandangkan jam kini sudah 2.55 pagi dan badan pun dah penat sangat maka Insya Allah artikel seterusnya tentang program hari ini akan menyusul esok pagi. Terlalu banyak perkara ingin dikongsi bersama. Tetapi berikan saya sedikit masa sebelum ia disiarkan di sini untuk tatapan anda semua. Sementara itu, anda bolehlah membaca kisah Beting Beras Basah di Bagan Datoh ini seperti mana yang diterbitkan di bawah
Terima kasih kepada DS Zahid Hamidi dan pegawai khas beliau En Zamri yang sudi menjemput kami pengendali media baru untuk mengenali lebih dekat kehidupan sebalik tabir beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh.  Peluang ini rezeki terpijak memandangkan khabarnya ramai blogger Semenanjung kini berada di Sarawak tidak dapat turut serta kali ini. Jemputan ini sangat dihargai Panglima kerana bukan semua dapat atau diundang untuk bersama Menteri Kanan Kabinet Malaysia DS Zahid Hamidi dari pagi hingga malam. Bayangkan 13 program bertemu rakyat berbagai kaum berjaya dihabiskan sejak 9 pagi hingga 9 malam bertemu segenap lapisan masyarakat. 

Tenaga yang ada boleh kalahkan orang muda beb ! 
Ok jumpa lagi esok dan banyak 'rahsia' ke Bagan Datoh kali ini akan dibuka apabila tiba masanya...
Beting Beras Basah adalah sebuah tempat yang terletak di muara Sungai Perak berhampiran dengan pekan Bagan Datoh, Perak. Terdapat dua cara untuk sampai ke Beting Beras Basah iaitu dengan melalui jalan darat dan jalan laut. Dari Teluk Intan, jika melalui jalan raya jaraknya ialah sejauh 45 km menuju ke Pekan Bagan Datoh. Setelah sampai di pekan tersebut, pengangkutan seterusnya ialah dengan menaiki bot atau sampan untuk ke sana atau melalui Kampung Sg Balai dengan mengikut jalan darat yang mempunyai jambatan. 

Selain melalui Kuala Sungai Perak, Beting Beras Basah juga boleh dilawati melalui jalan pintas iaitu dari Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, dengan menempuh jalan tar kecil sejauh enam kilometer yang hanya boleh dilalui dengan motor dan kenderaan kecil sahaja. Satu lagi cara ialah dengan meredah jalan kebun kelapa sawit dari pekan kecil Rungkup. Dari situ, kenderaan perlu ditinggalkan dan terpaksa berjalan kaki meredah paya bakau sejauh hampir setengah kilometer.

Sejarah Kesultanan Perak bermula pada awal abad ke 15 iaitu pada tahun 1528 dimana Sultan Perak yang pertama, Paduka Seri Sultan Muzzaffar Shah I telah ditabalkan di Beting Beras Basah, di kuala Sungai Perak berhampiran pekan Bagan Datoh. Sebelumnya, dua pembesar Perak iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim telah menghadap Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang bersemayam di Kampar untuk memperkenankan seorang puteranya untuk dijadikan Sultan Perak. Baginda telah memperkenan permintaan tersebut dan mengarahkan putera keduanya iaitu Raja Muzaffar Shah ke Perak.

Sewaktu Bahtera baginda menghampiri di kuala Sungai Perak dan sampai ke kawasan Beting Beras Basah, bahtera baginda telah dipukul ombak yang besar dan terdampar secara tiba-tiba diatas satu beting ditengah lautan tersebut. Baginda telah mengarahkan supaya dibuangkan ke laut barang-barang yang berat, namun laut tetap bergelora. Lalu baginda pun berseru :

"Sekongkong Tanah Minangkabau
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka"

Sultan Muzzaffar lantas mengambil mahkota baginda lalu membuangnya ke dalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora itu tenang kembali seperti biasa. Bahtera baginda dapat belayar semula seperti sediakala. Serentak dengan itu, Tun Saban dan pengikutnya melaungkan "DAULAT TUANKU" dan baginda Sultan Muzzaffar Shah pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama di Beting Beras Basah. Disebabkan peristiwa tersebut, baginda telah mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda.

Sejak itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan datang ke Beting Beras Basah ini untuk istiadat pertabalan pusaka dan bersiram tabal dan beberapa upacara lain yang akan disempurnakan oleh Pawang Diraja. Selain Sultan, Raja Perempuan juga harus melakukan upacara yang sama. Kali terakhir upacara tabal raja ialah sewaktu pertabalan Sultan Azlan Shah dan Raja Perempuan Bainun pada penghujung tahun 1985. Menurut cerita orang-orang tua di Bagan Datoh, sewaktu Almarhum Sultan Idris hendak ditabalkan menjadi Sultan Perak ke 33, dalam tahun 1963, baginda telah menyusur menggunakan sampan kecil hingga sampai di tapak tempat Sultan Muzaffar Shah mendarat pada 1528.

Sejarah lama ada menyebut bahawa Raja Ahmad yang merupakan putera kedua Sultan Abdul Malek Shah (Sultan Perak ke 19 yang bertakhta dari tahun 1808 hingga 1825) adalah merupakan seorang Pawang Diraja yang sangat masyhur satu masa dahulu. Sebagai Pawang Diraja, Raja Ahmad sangat arif tentang kejadian-kejadian ghaib termasuk yang berhubungkait dengan makhluk halus. Atas kebolehannya itu, baginda dilantik oleh kekandanya Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Perak ke 20 (1825 – 1830 ) untuk menjaga jin kerajaan negeri Perak di Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak. Raja Ahmad mangkat ( terjatuh di Kuala Sungai Terus ) kira-kira dalam tahun 1827 dan selepas itu, tidak diketahui siapa penjaga Jin Kerajaan Negeri Perak seterusnya.

No comments:

Post a Comment