Friday, November 20, 2015

Jihad 4 [Perang Sungai Manik ]

Posted on 29/02/2012by admin.upbb
Sudah seminggu berlalu, mujurlah tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku di Bendang DO. Pun begitu, keluarga Banjar yang berada di situ masih curiga kerana maklum sajalah janji komunis tak boleh dipercaya. Dalam diam, kerabat PKM sudah membina sebuah markas kecil kira-kira satu kilometer dari Bendang DO dengan tujuan mengawasi dan berkempen kononya tak siapa pun yang boleh memerdekakan Tanah Melayu selain dari PKM.
Ramai jugalah orang Melayu dan Banjar yang mula terpengaruh diresapi dakyah komunis hingga ada yang sanggup menyertai kumpulan bersenjata, manakala yang penakut atau berani-berani lalat pula memadailah sekadar menjadi mata dan telinga mereka.
Markas PKM di Bendang DO tak mendapat sambutan langsung. Perjuangan apa gerangan kalau caranya lebih teruk dari pemerintahan Jepun. Begitulah agaknya tanggapan warga Banjar seluruh Bendang DO – geram benar gamaknya.
Ketua komunis di markas besar Sungai Tungko mula gelisah kerana kempen merekadipahawai (dipandang sepi) oleh warga Banjar di Bendang DO yang masih keras hati. Akhirnya gerombolan PKM terpaksa membuat percaturan lain…menimbulkan masalah saban hari; tak cukup dengan makanan, harta benda orang kampung dirampas, tanamantakundangsai (musnah) diinjak dilenyek. Namun tidak juga membawa hasil yang diharapkan malah semakin menambah barau (marak) api kemarahan warga Banjar.
Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang orang kuat komunis mengeluarkan perintah dan amaran terakhir; kalau tak sanggup melihat Bendang DO menjadi padang halilintar, dalam masa seminggu warga Banjar diarah mengumpulkan kaum perempuan yang masih muda, tak kiralah anak dara atau isteri orang. Sudah lama benar gerangan si kulup ini menagih kaum perempuan, dan kalau itulah caranya, bagaimana gerangan dapat menentang British kelak!
Begitulah, satu perintah, satu tagihan, yang menyusahkan warga Banjar Bendang DO. Ke mana hendak mengadu kerana dalam keadaan darurat begini, Penghulu tak ada, Ketua Kampung pun tak ada. Bagaimana ye!
Haji Bakri, Banjar dari suku kaum Rantau baandah (berhijrah) dari Kalimantan ke Sapat, Sumatera. Dari Sapat berhijrah pula ke Batu Pahat, Johor, dan bertemu jodoh di sana.
Isteri tua bangaran (bernama) Patmah binti Hj Hassan dan dikurniakan dua orang anak – Zainab dan Abdul Majid. Isteri muda bernama Samiah binti Hj Abdul Jalil dan dikurniakan tiga orang anak – Abdul Kadir, Abdul Hamid dan Siti Sarah.
                        
Hj Abdul Kadir anak lelaki Hj Bakri dengan isteri muda memakai menggayakan jubah peninggalan arwah bapanya
Haji Bakri lemah lembut orangnya, sentiasa merendah diri matan (hinggakan) tak ramai yang tahu tentang ketinggian ilmunya – dunia dan akhirat. Setelah mendengar khabar tentang warga Banjar ramai menetap di Sungai Manik, beliau berhijrah ke sini sebelum Jepun memerintah Malaya. Dialah yang banyak mengajar agama dan membetulkan akidah warga Banjar di Sungai Manik. Lantaran itu dia diberi gelaran Patuan Guru (Tuan Guru)
“Amun sawat batagihan ka bibinian pulang matan talalo-lalo banar am bubuhan si haram jadah nia,” ujar hidin hudah bamula pina garigitan.
“Kalau sampai menagih perempuan, itu sudah benar-benar melampau” ujar Tuan Guru yang sudah mula rasa garigitan (geram).
“Cakada lain parang bungkol pang satronya si haram jadah ai”. Garunum hidin pina habang miar hudah muha tanda barau.
“Tak ada lain melainkan parang bungkol lawannya si haram jadah ni,” bebel Tuan Guru yang sudah habang miar (merah padam) muka kerana marah.
Tuan Guru Haji Bakri membuat pakatan sulit dengan warga Banjar Bendang DO yang bersetuju untuk menentang komunis.
Sebagai permulaan, lapan orang bibinian (perempuan) berjaya dikumpulkan, tapi kemudiannya hanya lima orang yang setuju, itu pun setelah jenuh memujuk. Memang benar pun, siapa yang rigi (sudi) dijadikan hulun (hamba) seks kepada pengganas komunis yang tak tau bahasa tu.
“Cakada nang kami bungol manjulung budas kanu bubuhan ninto kakanakan barataan ai, agar umpan satumat banarai,” ujar Patuan Guru Hj Bakri manahapi.
“Bukan kami bodoh manjulung (menghulur) budas (bulat-bulat) warga yang masih sunti melainkan ada helah, untuk dibuat umpan sementara” Tuan Guru manahapi (memberi kepastian).
Tempoh yang diberikan PKM hanya tinggal tiga hari saja lagi. Warga Banjar papasingnya(masing-masing) sibuk mangilir (mengasah) parang bungkol yang beranika gelaran. Tajamnya si Kandal Larap boleh dijadikan pisau cukur untuk membotakkan kepala. Ketika itulah dapat dilihat pelbagai ilmu dan amalan orang Banjar. Ada yang berendam semalaman dalam perigi buruk, ada yang berwirid siang malam tanpa henti, mandi buluh dan bermacam lagi petua. Betapa tidak, perjuangan antara hidup dan mati bukan boleh diambil mudah.
Rumah Tuan Guru Hj Bakri bersebelahan surau Parit 8, malaran (boleh tahan) jugaganalnya (besarnya). Diperbuat dari kayu harat (baik) zaman British – kukuh dan padu. Dalam rumah itulah warga Banjar mengatur strategi untuk berdepan dengan pengganas komunis. Carirapan (berkilau-kilauan) mata parang bungkol pesaka padatuan (moyang) yang dibawa dari kampung halaman di negeri Banjar, dan kebanyakannya sudah pernah dibasahi darah tentera Belanda. Memang sudah terbukti kehebatan parang-parang tersebut ketika digunakan memerangi penjajah di Kalimantan dulu. Pada masa itulahtaungkai (terkeluar) nama atau gelaran yang tak pernah didengar sebelumnya.
Ketika itu, Tuan Guru Haji Bakri tak ada anak lelaki dewasa di Sungai Manik, yang ada hanya seorang cucu lelaki yang masih remaja berusia awal 20an. Acil, nama cucu kesayangannya. Macalnya (nakalnya) boleh tahan juga, tak jauh bezanya dengan anak-anak hari ini. Marga (disebabkan) kenakalan itulah, Tuan Guru Haji Bakri segera menurunkan ilmu kepada cucunya. Maka semakin bertambahlah kejaguhan si teruna ini.
“Nah, buat genggaman mu,” Tuan Guru Haji Bakri menghulur parang bungkol si “Mandam Layu” kepada cucunya. Fuh, cantik sungguh; hulunya diukir dari akar haur(buluh) betung, rumbai perca kain merah di hujung menambah keampuhann bila dipandang. Apa lagi, lihum bapair (senyum meleret) si Utoh Acil menerimanya.
Ranai guraknyap (sunyi sepi) seluruh Bendang DO kerana setiap buah rumah telah dikosongkan, penghuninya berpindah ke ruamah Tuan Guru – markas warga Banjar di Parit 8.
“Mudahanai kita barataan dilindungi Allah ……..Allahuakbar,” ujar Patuan GuruHj.Bakri wayah malapasakan bubuhan Banjar nang mamulae bagarak tangah malam cagar mamaraki markas PKM di muhara Bandang DO.
“Mudah-mudahan kita semua dilindungi Allah…Allahuakbar” ujar Tuan Guru Haji Bakri ketika melepaskan warga Banjar memulakan gerak menghampiri markas PKM di muara Bendang DO tengah malam itu.
Mereka bergerak persis Ninja. Yang masih tinggal bersama Tuan Guru ialah Emoh, Acil, Sukri, Sabran, Ali dan Amat Tuban. Tak ikut serta bukan bererti penakut tapi ada rencana dan perkiraan tersendiri.


No comments:

Post a Comment