Sunday, January 7, 2018

Realitinya hidup di Negaraku Malaysia

SUSAH BUKAN KERANA MALAS

Realiti kehidupan rakyat kebanyakkan hanya disedari oleh mereka yang sedar. Yang tak sedar terus khayal dengan angka dan statistik.

Contoh pemimpin yang hanyut dengan angka dan statistik ialah bila PM mengistiharkan bahawa pendapatan kasar isi rumah telah meningkat daripada RM3,624 pada 2009 kpd RM6,267 tahun lalu.

Bagaimana pendapatan kasar isi rumah rakyat Malaysia dikira? Saya bimbang ia diambil secara purata. Contohnya, satu keluarga pendapatannya RM11,534 sementara satu keluarga lagi pendapatannya RM1,000. Dicampur pendapatan antara 2 keluarga ini menjadi jumlah RM12,534. Lalu dibahagi 2 maka jadilah pendapatan kasar isi rumah RM6,267. Kalau pendapatan Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhary dicampur sama dengan penoreh getah lalu diambil purata dan diistiharkan sebagai angka pendapatan kasar isi rumah, maka ini adalah gurauan yang tak lucu.

Dimusim tengkujuh yang belum berakhir ini ketika rakyat sedang berdepan dengan kesempitan hidup lantaran cuaca yang tak menentu dan musim banjir yang belum pulih sepenuhya, sepatutnya kerajaan berfikir bagaimana beban rakyat boleh dikurangkan.

Diwaktu sebegini, pisau menoreh getah terpaksa disimpan dan bot nelayan pantai terpaksa berlabuh di pengkalan.

Masyarakat bawahan seperti nelayan pantai dan penoreh, rata-rata mereka tidak mempunyai simpanan untuk digunakan dimusim tengkujuh sebegini. Ketika masih boleh bekerja sekalipun, mereka terkial-kial untuk meneruskan kehidupan. Apatah lagi bila terpaksa 'bercuti tanpa gaji' yang tak pasti berapa lama tempohnya.

Setiap hari mereka memerhatikan titisan air hujan yang turun bersama jatuhnya air mata rakyat marhaen.

Semalam ketika singgah di Pasar Tok Bali Pasir Puteh, harga ikan selar kuning saiz biasa yang harganya RM8 sekilo telah melambung menjadi RM14 sekilo! Ikan selayang pun RM8 sekilo. Itu pun ikan selayang yang pakai contact lense mata merah.

Dalam keadaan sempit sebegini, kerajaan memilih untuk menyempitkan lagi kehidupan rakyat dengan perubahan harga minyak saban minggu yang lebih kerap naik berbanding turun walau sekali sekala sebagai penyedap hati, ianya turun juga 1 sen atau 2 sen.

Jelas derita yang sedang ditanggung rakyat tidak menjadi soal pertimbangan kerajaan dalam menaikkan harga minyak. Inilah kerajaan BN!

Paparan yang memaparkan tragedi nyata di negaraku tercinta kita boleh dijumpai dengan mudah tanpa perlu tenggelam dalam lamunan angka. Rumah tanpa bilik, rumah tanpa bilik air dan tanpa dapur. Ibu yang terpaksa bagi air sirap kepada anak kecil bagi mengantikan susu lantaran kesempitan kewangan.

Bila kita tulis hal kesusahan rakyat, adalah yang komen, hidup kena rajin kalau tak nak susah.

Dia tak tahu bahawa penoreh getah dan nelayan pantai adalah kelompok rakyat yang sangat gigih bekerja. Subuh-subuh lagi sudah keluar mencari rezeki ketika sebahagian dari mereka yang rancak mengomen itu dan ini masih lena berbalut selimut.

Dia tak tahu orang kampung menoreh getah sampai 2 kali sehari. Awal lagi menoreh, lepas isyak pergi menoreh lagi.

Dia tak tahu bahawa ramai orang kampung yang susah sudah melakukan sampai 2 atau 3 kerja sehari.

Ada saya temui seorang ibu tunggal di Jabi yang menyara 4 orang anak. Bekerja sebagai pembantu kedai makan dari jam 3 petang sampai jam 3 pagi. Esoknya diwaktu awal pagi lagi sudah berada di kebun getah menggalas profesion sebagai NGO (Noreh getah orang). Sehabis daya bekerja, tapi masih lagi terkial-kial untuk meneruskan kehidupan.

Kita sedang berhadapan dengan realiti, bukan fantasi.

Memang tak dinafikan ada kes terpencil bahawa mereka yang hidup susah kerana sikap diri sendiri. Tapi ini bukannya majoriti. Apabila kita ajukan kes-kes sebegini, akan ada orang timbulkan, sipolan bin sipolan yang malang itu perangainya begitu dan begini, pemalas, akhlak tak baik serta pelbagai lagi sifat negatif yang akan didedahkan.

Bagi saya, bila timbul kesukaran melibatkan kes rakyat malang, pertama sekali kita hulurkan bantuan. Dalam masa yang sama, kita susuli dengan tarbiyah. Jangan kerana mangsa yang tak bernasib itu memiliki pelbagai sisi negatif, kita pinggirkan dia.

Manusia adalah hamba kepada budi. Dengan budi membentuk ikatan hati. Dengan ikatan hati, kita boleh mengajak mereka mengorak langkah ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
4 Januari 2018

No comments:

Post a Comment