Sudah seminggu berlalu, mujurlah tidak
ada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku di Bendang DO. Pun begitu,
keluarga Banjar yang berada di situ masih curiga kerana maklum sajalah janji
komunis tak boleh dipercaya. Dalam diam, kerabat PKM sudah membina sebuah
markas kecil kira-kira satu kilometer dari Bendang DO dengan tujuan mengawasi
dan berkempen kononya tak siapa pun yang boleh memerdekakan Tanah Melayu selain
dari PKM.
Ramai jugalah orang Melayu dan Banjar
yang mula terpengaruh diresapi dakyah komunis hingga ada yang sanggup menyertai
kumpulan bersenjata, manakala yang penakut atau berani-berani lalat pula
memadailah sekadar menjadi mata dan telinga mereka.
Markas PKM di Bendang DO tak mendapat
sambutan langsung. Perjuangan apa gerangan kalau caranya lebih teruk dari
pemerintahan Jepun. Begitulah agaknya tanggapan warga Banjar seluruh Bendang DO
– geram benar gamaknya.
Ketua
komunis di markas besar Sungai Tungko mula gelisah kerana kempen merekadipahawai (dipandang
sepi) oleh warga Banjar di Bendang DO yang masih keras hati. Akhirnya
gerombolan PKM terpaksa membuat percaturan lain…menimbulkan masalah saban hari;
tak cukup dengan makanan, harta benda orang kampung dirampas, tanamantakundangsai (musnah)
diinjak dilenyek. Namun tidak juga membawa hasil yang diharapkan malah semakin
menambah barau (marak)
api kemarahan warga Banjar.
Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang orang kuat
komunis mengeluarkan perintah dan amaran terakhir; kalau tak sanggup melihat
Bendang DO menjadi padang halilintar, dalam masa seminggu warga Banjar diarah
mengumpulkan kaum perempuan yang masih muda, tak kiralah anak dara atau isteri
orang. Sudah lama benar gerangan si kulup ini menagih kaum perempuan, dan kalau
itulah caranya, bagaimana gerangan dapat menentang British kelak!
Begitulah, satu perintah, satu tagihan,
yang menyusahkan warga Banjar Bendang DO. Ke mana hendak mengadu kerana dalam
keadaan darurat begini, Penghulu tak ada, Ketua Kampung pun tak ada. Bagaimana
ye!
Haji
Bakri, Banjar dari suku kaum Rantau baandah (berhijrah) dari Kalimantan ke Sapat, Sumatera.
Dari Sapat berhijrah pula ke Batu Pahat, Johor, dan bertemu jodoh di sana.
Isteri
tua bangaran (bernama)
Patmah binti Hj Hassan dan dikurniakan dua orang anak – Zainab dan Abdul Majid.
Isteri muda bernama Samiah binti Hj Abdul Jalil dan dikurniakan tiga orang anak
– Abdul Kadir, Abdul Hamid dan Siti Sarah.
Hj
Abdul Kadir anak lelaki Hj Bakri dengan isteri muda memakai menggayakan jubah
peninggalan arwah bapanya
Haji
Bakri lemah lembut orangnya, sentiasa merendah diri matan (hinggakan)
tak ramai yang tahu tentang ketinggian ilmunya – dunia dan akhirat. Setelah
mendengar khabar tentang warga Banjar ramai menetap di Sungai Manik, beliau
berhijrah ke sini sebelum Jepun memerintah Malaya. Dialah yang banyak mengajar
agama dan membetulkan akidah warga Banjar di Sungai Manik. Lantaran itu dia
diberi gelaran Patuan Guru (Tuan Guru)
“Amun
sawat batagihan ka bibinian pulang matan talalo-lalo banar am bubuhan si haram
jadah nia,” ujar hidin hudah bamula pina garigitan.
“Kalau
sampai menagih perempuan, itu sudah benar-benar melampau” ujar Tuan Guru yang
sudah mula rasa garigitan (geram).
“Cakada
lain parang bungkol pang satronya si haram jadah ai”. Garunum hidin pina habang
miar hudah muha tanda barau.
“Tak
ada lain melainkan parang bungkol lawannya si haram jadah ni,” bebel Tuan Guru
yang sudah habang miar (merah padam) muka kerana marah.
Tuan Guru Haji Bakri membuat pakatan
sulit dengan warga Banjar Bendang DO yang bersetuju untuk menentang komunis.
Sebagai
permulaan, lapan orang bibinian (perempuan)
berjaya dikumpulkan, tapi kemudiannya hanya lima orang yang setuju, itu pun
setelah jenuh memujuk. Memang benar pun, siapa yang rigi (sudi)
dijadikan hulun (hamba)
seks kepada pengganas komunis yang tak tau bahasa tu.
“Cakada
nang kami bungol manjulung budas kanu bubuhan ninto kakanakan barataan ai, agar
umpan satumat banarai,” ujar Patuan Guru Hj Bakri manahapi.
“Bukan
kami bodoh manjulung (menghulur) budas (bulat-bulat)
warga yang masih sunti melainkan ada helah, untuk dibuat umpan sementara” Tuan
Guru manahapi (memberi
kepastian).
Tempoh
yang diberikan PKM hanya tinggal tiga hari saja lagi. Warga Banjar papasingnya(masing-masing)
sibuk mangilir (mengasah)
parang bungkol yang beranika gelaran. Tajamnya si Kandal Larap boleh dijadikan
pisau cukur untuk membotakkan kepala. Ketika itulah dapat dilihat pelbagai ilmu
dan amalan orang Banjar. Ada yang berendam semalaman dalam perigi buruk, ada
yang berwirid siang malam tanpa henti, mandi buluh dan bermacam lagi petua.
Betapa tidak, perjuangan antara hidup dan mati bukan boleh diambil mudah.
Rumah
Tuan Guru Hj Bakri bersebelahan surau Parit 8, malaran (boleh
tahan) jugaganalnya (besarnya).
Diperbuat dari kayu harat (baik)
zaman British – kukuh dan padu. Dalam rumah itulah warga Banjar mengatur
strategi untuk berdepan dengan pengganas komunis. Carirapan (berkilau-kilauan)
mata parang bungkol pesaka padatuan (moyang) yang dibawa dari kampung halaman di
negeri Banjar, dan kebanyakannya sudah pernah dibasahi darah tentera Belanda.
Memang sudah terbukti kehebatan parang-parang tersebut ketika digunakan
memerangi penjajah di Kalimantan dulu. Pada masa itulahtaungkai (terkeluar) nama atau gelaran yang tak pernah didengar
sebelumnya.
Ketika
itu, Tuan Guru Haji Bakri tak ada anak lelaki dewasa di Sungai Manik, yang ada
hanya seorang cucu lelaki yang masih remaja berusia awal 20an. Acil, nama cucu
kesayangannya. Macalnya (nakalnya) boleh tahan juga, tak jauh bezanya
dengan anak-anak hari ini. Marga (disebabkan) kenakalan itulah, Tuan Guru Haji
Bakri segera menurunkan ilmu kepada cucunya. Maka semakin bertambahlah
kejaguhan si teruna ini.
“Nah,
buat genggaman mu,” Tuan Guru Haji Bakri menghulur parang bungkol si “Mandam
Layu” kepada cucunya. Fuh, cantik sungguh; hulunya diukir dari akar haur(buluh)
betung, rumbai perca kain merah di hujung menambah keampuhann bila dipandang.
Apa lagi, lihum bapair (senyum
meleret) si Utoh Acil menerimanya.
Ranai
guraknyap (sunyi sepi) seluruh Bendang DO
kerana setiap buah rumah telah dikosongkan, penghuninya berpindah ke ruamah
Tuan Guru – markas warga Banjar di Parit 8.
“Mudahanai
kita barataan dilindungi Allah ……..Allahuakbar,” ujar Patuan GuruHj.Bakri wayah
malapasakan bubuhan Banjar nang mamulae bagarak tangah malam cagar mamaraki
markas PKM di muhara Bandang DO.
“Mudah-mudahan kita semua dilindungi
Allah…Allahuakbar” ujar Tuan Guru Haji Bakri ketika melepaskan warga Banjar
memulakan gerak menghampiri markas PKM di muara Bendang DO tengah malam itu.
Mereka bergerak persis Ninja. Yang masih
tinggal bersama Tuan Guru ialah Emoh, Acil, Sukri, Sabran, Ali dan Amat Tuban.
Tak ikut serta bukan bererti penakut tapi ada rencana dan perkiraan tersendiri.
No comments:
Post a Comment