Sudah genap sebulan perang Sabil di
Sungai Manik, tapi masih belum menampakkan tanda akan berakhir. Bertimbun,
bergelimpangan mayat komunis namun mereka masih belum serik, malah semakin
cekal. Kekuatan mereka bertambah saban hari, entah dari mana datangnya tak pula
diketahui.
Dalam pada itu, gerombolan komunis di
Seberang Sungai Perak makin mengganas, menyiksa dan membunuh orang Banjar dan
Melayu di Kampung Gajah dan Balun Bidai. Orang Cina tidak pula diapa-apakan
malah dijaga dengan baik. Begitu agaknya taktik kotor komunis untuk melemahkan
semangat pejuang Sabilullah di Sungai Manik.
Tinjau
bilang barucau batuhui kada sing rantian basanjaan di higa rumah Patuan Guru
Hj. Bakri.
Riuh rendah kicauan burung murai waktu
senja di tepi rumah Tuan Guru Haji Bakri.
“Kalau berita baik, bawalah kemari,
kalau buruk jauhkanlah” begitulah selalunya kata-kata orang tua Banjar bila
mendengar kicau murai diwaktu senja. Betapa ada kebenarannya. Selepas solat
Isyak malam itu…
“Assalamualaikum!!!”
kedengaran suara memberi salam di depan surau. Serentak jemaah menyambut salam.
Setelah diamati (dijanaki)…bergegas (badadas) Tuan Guru turun ke tanah lalu memeluk sambil
menepuk belakang orang yang memberi salam.
“Selamat
datang adikku” kata-kata aluan Tuan Guru membuat warga Banjar lainnya
terpinga-pinga (tarangakan) kerana tak seorang pun yang mengenali (pinandu).
Masmuda,
adik (ading) Tuan
Guru Hj Bakri baru saja tiba dari Batu Pahat. Si Acil terus menerkam datuk
saudara (paninian mamarina) yang tidak kurang hebatnya. Ialah, kalau sudah
sedarah sedaging, ke mana lagi tumpahnya ilmu.
Perang Sungai Manik sedang rancak,
keadaan di Balun Bidai dan Kampung Gajah semakin genting. Saban hari gerombolan
komunis mencari pasal.
“Tak boleh dibiarkan, semakin
menjadi-jadi benar keganasan mereka” rungut Tuan Guru Hj Bakri bercampur marah.
Para pejuang Sabilullah sepakat melantik
Masmuda sebagai Khalifah perang mengganti Acil di Sungai Manik. Tuan Guru Hj
Bakri dan Acil pula akan turun ke Balun Bidai secepat mungkin.
Wafak Selindang Merah dibuat khusus
untuk warga di seberang Sungai Perak. Salah seorang tukang tulis kalimah
Allahuakbar Selindang Merah bernama Asmuni.
Hj
Asmuni, tukang tulis kalimah Allahuakbar di Selendang Merah sedang memegang
tongkat peninggalan arwah Tuan Guru Haji Bakri
Pertama
kali Masmuda memimpin pejuang Sabilullah di Sungai Manik, ketara benar
kehebatannya. Musuh melepaskan tembakan ke atas, peluru berterbangan seperti
air hujan menerjah angin kosong (puang). Pada
pandangan mereka, para pejuang Sabilullah semuanya tinggi, setinggi pohon getah
dan pohon kelapa maka itulah mereka asyik menghalakan tembakan ke atas. Ketika
itulah para pejuang Sabilullah menyerbu, menebas, menetak dan memancung musuh.
Baru sekejap, bersih (lingai) medan
pertempuran.
Namun, antara musuh yang gugur di hujung
parang bungkol pejuang Banjar, terdapat ramai yang menyebut kalimah Allah.
Setelah diamati ternyata mereka adalah orang Melayu dan Banjar yang sudah
terpedaya menyertai perjuangan komunis. Dalam pertempuran sukar untuk
mengasingkan antara Banjar, Melayu dan Cina kerana mereka semuanya menyarung
pakaian seragam Bintang Tiga.
Para
pejuang PKM masih lagi berdegil, tak mengerti makna putus asa. Sambil menanti
bantuan dari Sungai Karang seberang Teluk Anson, mereka meneruskan(manyalajurakan) perjuangan.
Mujurlah (madakannya) Allah
tidak mengizinkan. Tongkang yang sarat membawa gerombolan PKM dari Sungai
Karang karam di tengah Sungai Perak, tak jauh dari Pulau Galagak dekat
pelabuhan Teluk Anson.
Melambak
gerombolan Cina komunis yang tak pandai berenang (bakunyung) tenggelam
batu dan mati lemas. Manakala gerombolan komunis bangsa Melayu dan Banjar yang
rata-ratanya pandai berenang terselamat dan sempat berenang ke Pulau Galagak.
Kalau tidak, pastinya sesama Islam bakal bertempur di Sungai Manik.
Sesungguhnya Allah lagi maha mengetahui.
Berita yang melemahkan perjuangan PKM –
ranapnya pejuang mereka di Sungai Manik di tangan warga Banjar di bawah
pimpinan Masmuda, panglima Selendang Merah Batu Pahat, Johor.
Dalam pada itu, ramai orang Melayu dan
Banjar di Balun Bidai, Kampung Gajah dan kampung-kampung berhampiran memilih
untuk lari ke dalam hutan meninggalkan rumah masing-masing kerana komunis
semakin mengganas, menembak rumah membabi buta. Mengamuk kononya. Untuk apa
melepaskan geram terhadap mereka yang tak tahu menahu!
Lain pula ceritanya dengan kaum Cina
yang menghuni kawasan sekitar. Hampir semuanya menyokong perjuangan PKM, dan
kerana itulah mereka tidak di ganggu.
Tuan Guru Haji Bakri, Acil dan Emoh
selamat menyeberang Sungai Kinta dan sampai di Kampung Changkat, Bayas, Balun
Bidai. Sungguh tak disangka rupanya warga Banjar di situ tak juga kurang
keberanian mereka.
Acil
pula dilantik sebagai Khalifah surau Changkat Bayas, markas pejuang Sabilullah
di Balun Bidai. Selendang dan tanjak merah yang dibawa dari Sungai Manik
diagih-agihkan sehelai seorang. Pun begitu, sekiranya ada yang memiliki ‘wafak’
sendiri, mereka dibenarkan memakainya. Begitulah cara orang Banjar – walau
setinggi mana pun ilmu sendiri, namun ilmu orang lain tetap dihormati. Mencerca (mawada) menghina(mahapak) kebolehan orang lain bukan Banjar namanya.
Siang malam kedengaran bunyi tembakan di
pinggir Balun Bidai, entah apa yang mereka tembak tidak pula diketahui.
Membunuh dan menyiksa orang, itu sajalah kerja mereka. Setengahnya bertujuan
menakutkan – konon komunis masih lagi kuat walaupun sudah tewas di Sungai
Manik. Hii, geram betul.
Pada
mulanya hampir tujuh puluh orang warga Banjar yang sanggup turut serta sebagai
pejuang Sabilullah. Yang penakut (pamburisit) dibenarkan tinggal mengawasi anak isteri mereka
yang bakal pergi menyerang markas PKM di tebing Balun Bidai. Tuan Guru Haji
Bakri tetap seperti biasa – bersendirian berzikir dan membaca ayat-ayat di
surau. Sampai saat dan ketikanya, pergilah para pejuang menuju sarang komunis
di tebing Balun Bidai.
Lailahaillallah…Allahuakbar!!!” maka
bermulalah perang sabil di daerah Kampung Gajah, Perak.
Khalifah
Acil yang masih muda sudah berbulan menentang musuh di Sungai Manik. Boleh
dikatakan setiap kali pergi berjuang, darah musuh sampai kering di badan. Medan
pertempuran dibuatnya seperti padang permainan. Degil, menari (baigal) menahan tembakan komunis membuat musuh semakin geram.
Ditembak tak langsung memberi bekas.
Musuh semakin menghampiri para pejuang
Sabilullah.
“Timpasss!!!” (tetak) ujar
si Acil berteriak. Apa lagi, parang bungkol terus mandi darah.
No comments:
Post a Comment